Mengenai Saya

Foto saya
Blog ini dimiliki oleh Zawawi Hussain FB : Zawawi Hussain HP : +6013-3405910 email : wanmohdzawawi@gmail.com

Jumaat, 9 November 2012

5-Tafsir Al-Azhar - Juzu' 1 : AL-QURAN LAFAZ DAN MAKNA



5-AL-QURAN LAFAZ DAN MAKNA

Setelah kita tinjau dengan saksama pendapat ulama-ulama yang terdahulu, maka terdapatlah kesatuan pendapat yang umum, iaitu bahawa al-Quran itu bukanlah semata-mata pada maknanya sahaja, melainkan mencakupi lafaz dan makna. Sebab itu maknanya terdapat beberapa ayat di dalam al-Quran yang dengan tegas menyatakan sifat al-Quran itu, iaitu Arabi. Ayat ketiga dari Surat 14, dengan tegas menyebut Qur’anan ‘Arabian, artinya al-Quran yang berbahasa Arab. Sebab itu, tidak ada al-Quran lain dengan bahasa lain, yang al-Quran ialah yang bahasa Arab itu. Kalau dia telah diterjemahkan ke dalam bahasa yang selain Arab, namanya bukan al-Quran lagi, melainkan terjemahan al-Quran.
Seluruh Imam-imam Mazhab sama berpendapat dalam hal itu, yang al-Quran ialah yang bahasa Arab itu. Hanya satu kali saja terdapat sedikit pertikaian faham, iaitu kerana Imam Abu Hanifah pernah berkata, bahawa bagi orang Ajam yang baru memeluk Islam, kalau lidahnya belum sanggup membaca al-Quran dalam sembahyang dengan lafaz Arabnya, boleh dia sementara waktu, sebelum pandai membaca bahasa Arabnya, sembahyang dengan bahasanya sendiri.
Sebagaimana yang diketahui oleh ahli-ahli sejarah, Imam Hanafi itu sendiri memang keturunan Persia (Iran) berasal dati daerah Kabul (Aghanistan) sekarang ni. Jadi beliau mengalami dan menyaksikan sendiri banyaknya orang yang sebangsanya berduyun-duyun masuk Islam, lidah mereka masih belum lancar mengucapkan huruf-huruf al-Quran, sedang dalam agama tidak ada paksaan. Itu sebabnya beliau berpendapat bahawa sebelum fasih, biarlah sembahyang dengan bahasa sendiri, tetapi wajib selalu berusaha, sehingga makhraj-makhraj huruf Arab itu bisa diucapkan dengan tepat.
Lantaran beliau pernah menyatakan pendapat seperti ini, maka adalah orang yang datang kemudian memperluas pula dengan kesimpulan sendiri ijtihad beliau yang demikian. Lalu mereka berkata bahawa Imam Hanafi berpendapat bahawa al-Quran itu hanya makna sahaja, tidak usah lafaznya. Padahal setelah dikaji dan ditilik kitab-kitab yang menuliskan ijtihad Imam Hanafi, tidaklah pernah beliau mengatakan bahawa al-Quran itu hanya makna sahaja. Dan tidak masuk di akal kita bahawa Imam Hanafi yang bergelar al-Imamul A’zham akan mengemukakan pendapat demikian, kerana sudah menjadi pengetahuan umum, bahawasanya makna yang asli dari satu bahasa, terlalu sukar dapat diartikan  di dalam bahasa yang lain. Bahkan terjemahan ke dalam satu bahasa sajapun tidaklah sama di antara satu penterjemah dengan lain penterjemah. Dan bahasa tempat menterjemahkan itupun selalu berkembang, yang kadang-kadang satu patah perkataan 100 tahun yang lalu, sudah berbeza dengan yang sekarang ini. Kita misalkan saja kata “pemancar” yang 100 tahun yang lalu artinya ialah pancaran air, sedang arti pada zaman sekarang ialah satu stesen radio.
Oleh kerana itu kita terjemahkan dan kita tafsirkan al-Quran ini ke dalam bahasa Indonesia moden yang sedang berkembang, dengan berpegang kepada pendapat Imam Abu Hanifah tadi, iaitu membimbingg orang yang tidak tahu bahasa Arab tetapi ingin mengetahui isi al-Quran, dan kita peringatkan bahawa ini adalah terjemah. Sudah lebih daripada 10 macam terjemah al-Quran ke dalam bahasa Indonesia, namun bahasa dan gaya bahasa dari terjemah yang lebih 10 itu tidaklah sama, sebab semua itu adalah pendapat manusia, dan dalam atau dangkalnya pengetahuan manusia, bukanlah dia al-Quran.
Di zaman Islam dan negara-negara Islam dalam puncak kekuatannya, Ulama-ulama Islam berpendapat bahawa naskhah al-Quran tidak boleh dibawa ke negeri orang kafir dan al-Quran tidak boleh (haram) jika diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Sebab larangan membawa ke negeri yang bukan Islam, ialah kerana takut al-Quran itu akan diperhina-hina. Dan larangan terjemah ialah kerana sudah nyata bahawa terjemahan tidak akan sama dengan aslinya. Tetapi fatwa-fatwa yang demikian sekarang telah mulai berubah, sebab zaman pun telah berubah, terutama dengan adanya alat-alat pencetak, sehingga al-Quran yang mula-mula dicetak dengan percetakan bukanlah di Mesir, Damaskus atau di Mekah, tatapi di Hamburg Jerman.
Tentang hal terjemah, kian lama, kerana kian melihat kenyataan, tidaklah besar lagi jumlah Ulama yang mengharamkannya, sebab telah dirasai betapa terjemah al-Quran ke dalam bahasa-bahasa Barat, yang kadang-kadang mereka katakan bahawa itulah yang al-Quran dan kadang-kadang terdapat pula terjemahan yang salah. Maka untuk menandingi ini tidak ada lagi jalan lain bagi Ulama-ulama Islam yang bertanggungjawab, melainkan membolehkan penterjemahan. Tetapi sama pula pendapat sekalian Ulama Islam zaman Moden, bahawa hendaklah ayat-ayatnya yang asli dengan huruf Arabnya dan nombor-nombor ayat dicantumkan pula di samping terjemahan itu, supaya dapat dibanding oleh ahli-ahli yang lain bena atau salahnya, tepat atau janggalnya terjemahan itu.
Syukurlah kita pada Tuhan, sebab baik bacaan al-quran dengan makhraj dan hurufnya dan tajwid atau perkembangan tulisannya, masih tetap asli menurut naskhah yang pertama. Inilah keutamaan al-Quran melebihi naskhah Taurat dan Injil. Keaslian al-Quran adalah mutawatir, artinya diterima dan dihafal oleh beribu-ribu orang yang mustahil akan sepakat berdusta dan diajarkan turun-temurun dari nenek kepada anak dan kepada cucu.
Sekarang kita terjemahkanlah tiap-tiap ayat al-Quran yang 30 juzu’, 114 surat dan 6,236 ayat itu, ke dalam bahasa Indonesia atau Melayu, dan disamping terjemah, penulis ini mencantumkan pula bunyi ayat aslinya dengan huruf Arabnya. Tidak ada salinan bacaan-bacaan bahasa Arab al-Quran itu ke dalam huruf lain. Kecuali sedikit-sedikit beberapa kali  di dalam tafsir. Sebab penulis “Tafsir” ini insaf benar bahaw huruf Latin (Rumi) yang hanya 26 buah tidaklah cukup untuk menggantikan huruf Arab yang 29 buah.
Maka Tafsir al-Quran, Tafsir Al-Azhar ini, yang di dalamnya kita telah mencuba menterjemahkan ayat ke dalam bahasa Indonesia atau Melayu, adalah menyambung usaha nenek-moyang yang terdahulu sebagai Sheikh Abdurrauf bin Al-Fanshuri di dalam abad ke tujuhbelas masehi di negeri Acheh Darussalam, dan menyertai pula usaha teman-teman sebaya yang lain dan terjemahan mereka masing-masing. Mungkin akan terdapat kealpaan, sebab yang aku kerjakan ini adalah satu pekerjaan yang amat besar dibandingkan kepada kecilnya diriku dan piciknya ilmuku. Maka kepada peminat al-Quran kita serukan bahawa penafsiran dari tiap-tiap penafsir tidaklah sama, masing-masing diberi warna oleh keperibadian penafsir itu sendiri, dalam dan dangkalnya ilmunya, pendidikannya dan pengalamannya. Sebab itu kita ingatkan sekali lagi bahwa tafsir ini belumlah cukup. Yang cukup dan kengkap hanyalah al-Quran itu sendiri.
Maka untuk mendekati kecukupannya itu sebaiknyalah angkatan muda Islam jangan hanya membaca terjemahan dan tafsir, cukupkanlah segala terjemah dan tafsir yang telah ada, di antaranya Tafsir Al-Azhar ini sebagai pembimbing saja bagi mencapai masuknya Nur ayat-ayat al-Quran ke dalam jiwa masing-masing saudara, sehingga menjadi seorang Muslim yang mencukupi artikata dengan Nur al-Quran.
Dan sebagai kita katakan di awal kata di atas tadi, hendaklah selalu Muslim memfasihkan membacanya. Kalau sudah kelu lidahnya, kerana bekas pengaruh penjajahan, hendaklah dia menyerahkan anaknya belajar bacaan al-Quran itu kepada seorang guru yang pandai dan fasih, yang mengenal tajwid dan qiraat al-Qurannya. Sebab sebagai dikatakan tadi, al-Quran adalah lafaznya dan maknanya. Al-Quran ialah yang bahasa Arab itu. Dan kalau dia diterjemahkan, maka nama terjemahan itu tetap terjemahan, bukanlah al-Quran.

Sabtu, 3 November 2012

Tafsir Al-Azhar - Juzu' 1 - Isi Mukijizat Al-Quran - 3


4- ISI MUKJIZAT AL-QURAN - 3

Ketiga: Di dalam al-Quran pernah diberitakan pula hal yang akan kejadian. Di dalam Surat Rum (Surat 30, di ayatnya yang permulaan diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.) bahawa mulanya orang Rum kalah perang dengan orang Persia, tetapi sesudah beberapa tahun kemudian, orang Rum pasti akan menang kembali.
Ketika orang Rum itu kalah di permulaan, musyrikin Quraisy bergembira hati, sebab orang Persia yang mengalahkan mereka adalah penyembah berhala pula. Sedang kaum Muslimin bersedih hati, sebab orangg Rum adalah pemeluk Nasrani, yang ada pokoknya bertauhid juga, artinya dekat dengan Islam. Tapi kedatangan ayat memberi kepastian kepada kaum Muslimin bahawa Rum akan menang kembali tidak berapa tahun lagi:  Bidh’i sinina. Artinya di antara tujuh dan Sembilan tahun lagi. Sampai Abu Bakar bertaruh  dengan orang Quraisy beberapa ekor unta, bahawa Rum pasti akan menang kembali. Dan setelah sampai waktunya, terjadilah kemenangan Rum dan kalahlah Persia. Abu Bakar yakin dan pasti menang, sebab dia yakin akan bunyi ayat ini. (Ketika itu zaman Mekah, belum ada larangan). Maka diterimalah kemenangan pertaruhannya.
Demikian juga janji kemenangan menghadapi Quraisy di peperangan Badar, dan demikian juga janji bahawa Nabi dan sahabatnya akan dapat melakukan Umrah dengan aman sesudah Perdamaian Hudaibiyah. Semuanya Insya Allah akan bertemu di dalam Suratnya masing-masing kelak. Semuanya itu dijanjikan sebelum terjadi sesungguhnya (Lihat Surat al-Anfal Juzu’ 9 dan Surah al-Fatah Juzu’ 26).
Yang lebih hebat lagi ialah janji kemenangan pasti, bahawa mereka akan memerintah di bumi, sebagaimana ummat-ummat yang terdahulu juga dan kekuatan akan berganti dengan keamanan, sebagai tersebut dalam Surat an-Nur ayat 35 (Juzu’ 18). Maka dari Mekah ke Madinah, dari Madinah dalam masa 10 tahun seluruh Tanah Arab telah ditaklukkan oleh Rasulullah sendiri. Di bawah pimpinan Abu Bakar kaum Muslimin mulai menyerbu kekuasaan Romawi dan di zaman Umar, takluk Persia dan Mesir, dan diteruskan lagi oleh Khalifah-khalifah yang datang di belakang, sehingga kekuasaan yang pernah dicapai Islam, pernah meliputi Afrika, Andalusia, Asia Tengah dan menjulur sampai ke anak benua India, dan juga terus ke Kasigar (bagian dari tanah Cina). Dan kejatuhan mereka yang datang di belakang sampai negeri-negeri mereka dijajah oleh musuhnya, telah dibayangkan di dalam ayat satu itu juga, iaitu bahawa kebesaran akan dicabut kalau telah kufur dan fasik.
Keempat: I’jaz yang lebih mengagumkan lagi ialah terdapatnya beberapa pokok ilmiah yang yang tinggi di dalam al-Quran mengenai alam. Dibicarakan didalamnya soal kejadian langit dan bumi; bintang-bintang, bulan dan matahari. Dari hal turunnya hujan dan hubungannya dengan kesuburan dan kehidupan. Beberapa kali dibicarakan dari hal lautan, pelayaran dan perkapalan. Pernah juga dikatakan bahawa pada mulanya langit dan bumi adalah satu, kemudian dipecahkan (al-Anbiya’, Surat 21 ayat 30) yang beratus tahun kemudian penyelidikan ilmu pengetahuan alam menjelaskan bahawasanya bumi ini adalah pecahan dari matahari. Dibicarakan juga soal asal-usul kejadian manusia, sejak dari tanah lalu menjadi mani, nuthfah, alaqah dan mudhghah, lalu mudghah itu terbentuk menjadi tulang, lalu tulang itu diselimuti dengan daging, kemudian menjadi manusia yang bernyawa. (Surat 23; al-Mu’minun, ayat 12 sampai 14). Dibicarakan juga dari hal kayu-kayuan, kebun-kebun yang indah, pengaruh angin berhembus untuk mempertemukan “jantan betina” pada tumbuh-tumbuhan.
Soal-soal alam yang dibicarakan ini sangatlah mengagumkan, kerana bertambah dalam penyelidikan manusia dalam berbagai macam ilmu pengetahuan alam, bertambah jelas maksud ayat-ayat itu. Sedang Nabi Muhammad s.a.w. ukanlah seorang ahli ilmu alam.
Beliau membicarakan beberapa kali tentang lautan, ombak bergulung dan kapal layar, sangat menarik perhatian orang-orang pelaut. Sehingga seorang nakhoda kapal Inggeris bernama Mr. Brown, yang  di dalam pelayaran pulang-pergi di antara tanah Inggeris dan India selalu membaca terjemahan al-Quran, sangat kagum bila membaca ayat-ayat yang mengenai laut dan bahtera, lalu beliau bertanya kepada orang-orang Islam di India, pernahkah Nabi Muhammad s.a.w. itu belayar.Maka diterangkanlah kepadanya bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah melayari lautan seumur hidupnya. Mendengar keterangan itu ditambah lagi dengan penyelidikannya tentang sejarah hidup Rasulullah, bahawa memang beliau tidak pernah belayar, timbullah iman nakhoda Inggeris itu bahawa al-Quran itu memang wahyu Illahi, dan diapun langsung memeluk agama Islam.
Di dalam riwayat ada tersebut bahawa seorang sahabat Nabi Muhammad pernah meminta nasihat beliau, kerana maksud sahabat itu hendak menanam bibit pohon kurma. Menurut kebiasaan, kurma yang subur buahnya ialah yang dikahwinkan terlebih dahulu. Kerana pohon kurma itu berjantan berbetina pula. Lalu beliau beri nasihat, tidak perlu mengahwinkan. Nasihat beliau itu diterima oleh sahabat yang bersangkutan, lalu dia pergi bertanam kurma. Kemudian ternyata memang kurma yang ditanam dengan tidak perjodohan terlebih dahulu (okulasi), tidak menghasilkan buah. Lalu beliau sendiri Muhammad s.a.w. mengakui bahawa soal demikian bukanlah keahlian beliau, sebab hal itu adalah urusan keduniawian semata-mata, yang ahli masing-masing cabang pekerjaan lebih mengerti daripada beliau dalam urusan itu. Maka setelah dilakukan orang kembali perjodohan sebelum menanam kurma itu, benarlah terjadi sebagaimana biasa, menghasilkan buah yang subur.
Belumlah sampai penyelidikan penafsir ini apakah soal penanaman kurma ini terlebih dahulu kejadian daripada turunnya ayat 22 dalam Surat al-Hijr surat 15, yang menerangkan bahawa Tuhan Allah mengirimkan angin buat menyuburkan (lawaqih) dari pokok kata Iqaah, iaitu mencecerkan bibir. Maka di musim angin berhembus sepoi-sepoi basa, angin itulah yang memindahkan bibit kembang yang jantan yang betina. Besar sekali kemungkinan bahawa sahabat Rasulullah menanam kurma itu, kejadian setelah zaman Madinah, dan Surat al-Hijr adalah turun di Mekah.  Artinya terlebih dahulu turun ayat itu dari sahabat berkebun kurma itu. Sebab setelah terjadi masyarakat Islam di Madinah barulah sahabat berkebun-kebun. Maka kedua bukti ini menunjukkan dengan jelas bahawa Nabi kita s.a.w. bukanlah ahli perkebunan, dan tidaklah beliau sendiri mengerti, diukur dengan ilmu perkebunan, bahawa angin pun mempunyai tugas  untuk mengahwinkan bibit. Sedangkan maksud ayat 22 dari Surat al-Hijr itu dapatlah difahamkan orang di belakang, setelah orang menyelidiki ilmu pengetahuan tentang tumbuh-tumbuhan leih mendalam. Dan sudah dapat pula kita katakan bahawa beliau pun tidaklah mengerti pecahnya sebahagian dari matahari lalu menjadi bumi, meskipun ayat itu turun ke atas diri beliau sendiri. Ahli ilmu alamlah kelak yang akan membuka rahsia itu.
Disinilah terletaknya mukjizat. Nabi s.a.w. tidak pandai menulis, tidak ahli membaca, tidak masuk sekolah. Bahkan sesuatu yang patut dinamai sekolah belum ada pada waktu itu. Sesuatu yang agak patut disebut ilmu pada masa itu hanyalah ilmu-ansab, iaitu ilmu nasab-keturunan, yang diajarkan dari mulut ke mulut. Itupun diakui oleh ahli sejarah bahawa beliau tidak ada ilmu tentang itu. Sahabat setianya Abu Bakar yang ahli dalam ilmu keturunan suku-suku Arab itu, bukan beliau.

Khamis, 1 November 2012

Tafsir Al-Azhar - Juzu' 1 - Isi Mukijizat Al-Quran - 2

4- ISI MUKJIZAT AL-QURAN - 2

Sejarah dan perkembangan penilaian terhadap al-Quran itu telah memberikan tiga kesimpula tenatang I’jaz. Yang pertama ialah keistimewaan yang telah pernah dicapai oleh bangsa Arab, yang kedua ialah  makna atau ma’aninya, yang hakiki, yang telah terbukti bahawa puncak tertinggi yang manapun dari fikiran mereka tidaklah akan sampai ke martabat makna al-Quran. Ketiga ialah ajaran akhlak. Ajaran akhlak al-Quran itu, kalau dimisalkan bukanlah dia ajaran agama, namun puncak budi dari manusia yang cerdas, tidaklah dapat membantah bahawa itulah akhlak yang baik.
Sebab itu I’jaz ini telah menjadi salah satu ilmu yang wajib diperhatikan juga seketika menafsirkan al-Quran.
Dan I’jaz al-Quran ini adalah terhadap seluruh manusia. Kalau bangsa Arab dengan bahasa yang tidak mati, malahan bertambah berkembang dan berpengaruh di dalam abad kedua puluh ini, dan orang-orang Arab sendiri, terutama sarjana-sarjana bahasanya telah mengakui kelemahan mereka, apatah lagi seluruh manusia. Dan memang Muhammad s.a.w diutus kepada seluruh manusia di muka bumi ini (Lihat surat 34, Saba’ ayat 28 dan beberapa ayat lain).
Dengan secara ringkas dan pokok sahaja, kita hendak mencuba mengemukakan empat rupa I’jaz al-Quran.
Pertama: Fashahah dan Balaghah, amat tinggi darjat kata dan maknanya, yang mempesona pendengarnya, yang dimulai oleh orang Arab yang empunya bahasa itu sendiri, yang lebih tahu apa susun, irama, gaya dan pengaruh ungkapan kata yang dapat menarik dan mempesona. Bangsa yang sebelum al-Quran turun mengadakan sayembara perlumbaan syair-syair pada tiap-tiap tahun di pasar Ukaadz, dan syair yang menang mendapat kehormatan digantungkan di Kaabah; bangsa yang terdiri dari kabilah-kabilah, dan tiap-tiap kabilah merasa rendah diri kalau dalam kalangannya tidak ada ahli syair atau ahli pidato yang fasih dan kalau mereka kagum terpesona oleh al-Quran, bolehlah kita bangsa yang lain mempercayai kekaguman mereka itu.
Susunan al-Quran bukanlah susunan syair, dengan susun rangkaikata menurut suku-kata bilangan tertentu, dan bukan dia puisi dan bukan dia prosa dan bukan pula dia sajak, tetapi dia berdiri sendiri melebihi syair, nashar dan nazham, yang belum pernah sebelum turun, orang Arab belum pernah mengenal kata seperti itu. Demikianlah terpesona mereka itu, lebih terpesona pemuka-pemuka mereka sendiri, sebagai Abu Jahal, Abu Sufyan, al-Walid bin al_Mughirah dan lain-lain.
Tidak ada kata lain yang dapat mereka pilih untuk menilainya, sehingga mereka katakan saja bahawa al-Quran itu adalah sihir. Seorang pedusunan dari Bani Ghifar, bernama Anis, iaitu saudara dari Abu Zar al-Ghifari berkata kepada Abu Zar “ Saya bertemu di Mekah seorang laki-laki memeluk agamamu ini, dia mengatakan bahawa dia utusan Tuhan Allah”. Lalu Abu Zar berkata: “Apa kata orang tentang dirinya?”
Anis menjawab: “ Ada orang yang mengatakan bahawa dia itu adalah seorang ahli syair, kata orang yang lain dia tu kahin (tukang tenung) dan kata yang lain lagi dia itu ahli sihir. Lalu Abu Zar bertanya kepada Anis, kerana diapun seorang penyair: “ Engkau sendiri bagaimana pendapatmu tentang dia? “Anis menjawab: “ Aku telah pernah mendengar perkataan kahin,  namun ini bukan kata-kata ahli syair. Aku sudah perbandingkan kata-kata ini dengan syair-syair ahli syair, maka tidak ada samasekali persamaan kata-katanya ini dengan syair. Pendeknya, demi Allah, dia adalah benar. Dan penyair adalah bohong”.
Kedua: Al-Quran banyak menceritakan berita tentang masa-masa telah lalu; berita tentang kaum ‘Aad, Tsamud, kaum Luth, kaum Nuh, kaum Ibrahim, kaum Musa, negeri Madiyan, ceritera tentang kesucian Maryam dan kelahiran puteranya (Isa AlMasih), tentang lahirnya Yahya bin Zakaria. Segala berita yang dibawanya itu benar dan semuanya bertepatan dengan kenyataan yang benar, dan banyak persesuaian dengan cerita ahlul-kitab, sedang yang membawa berita al-Quran ini dikenal oleh semua yang hidup sezaman dengan dia bahawa dia ummi (buta huruf), tak pandai menulis dan tak tahu membaca. Dan tidak pula pernah belajar kepada seorang guru, masyarakt Mekah sendiri, tempat dia lahir dan dibesarkan bukanlah masyarakat ahlul-kitab, melainkan masyarakat menyembah berhala. Bukan sebagai di Madinah yang dipengaruhi oleh Yahudi dan bukan sebagai di Najran yang  berpenduduk Nasrani.
Meskipun kaum orientalis kadang-kadang mencari segala macam lobang, walaupun lobang paling kecil, untuk menegakkan teori bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah belajar kepada ahlul-kitab, namun teori yang dibikinkan itu adalah laksana menegakkan benang basah. Berfikir yang benar, hanyalah sampai kesimpulan bahawa “orang ini” dan  Nabi Muhammad s.a.w. mendapat wahyu dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Di dalam al-Quran sendiri Tuhan bersabda kepadanya: “Bahawa sebelum al-Quran ini turun, dia belum pernah membaca satu kitab pun, dan belum pernah dia menulis apa-apa dengan tangannya.” (Lihat Surat al-Ankabut, ayat 48)
Satu hal yang lucu telah kejadian. Di Mekah ada tinggal seorang pandai besi berasal dari negeri Rum, menerima upah membuat pedang. Orang itu tidak berapa fasih berbahasa Arab dan bukanlah dia seorang failasuf atau guru, meskipun berasal dari Romawi. Kepandaiannya hanyalah semata-mata menempa besi. Nabi Muhammad s.a.w. pernah datang dua tiga kali ke bengkel tempat orang bekerja. Mungkin tertarik melihat kepandaiannya membuat pedang. Maka disebarkanlah berita oleh musuh-musuhnya ketika itu berita bahawa Nabi Muhammad belajar kepada orang Rum pandai besi itu. Berita inilah yang dibantah oleh al-Quran dengan cara berfikir yang teratur di dalam Surat an-Nahl (Surat 16, ayat 103), bahawa Tuhan mengetahui apa yang mereka tuduhkan itu, iaitu bahawa Muhammad diajar oleh manusia, bukan wahyu dari Tuhan. Manusia itu pandai besi orang Rumi. Padahal lidah Rumi itu ialah lidah ajami, sedang wahyu yang turun adalah lidah atau bahasa Arab yang terang, yang jelas lagi fasih.


Cubalah fikirkan dengan akal yang teratur, adakah mungkin di akal bahawa seoarng Rumi yang tidak fasih bahasa Arab mengajar Nabi tentang wahyu dengan bahasa Arab yang sangat indah, di atas segala keindahan?
Sedangkan pemuka-pemuka Quraisy yang ahli dalam bahasa, selama ini tidak mengenal sedikit pun tentang pandai besi Rumi itu lain dari langganan yang baik dalam pembikinan pedang?

Bersambung …..