4- ISI MUKJIZAT AL-QURAN - 3
Ketiga:
Di dalam al-Quran pernah diberitakan pula hal yang akan kejadian. Di dalam
Surat Rum (Surat 30, di ayatnya yang permulaan diwahyukan kepada Nabi Muhammad
s.a.w.) bahawa mulanya orang Rum kalah perang dengan orang Persia, tetapi
sesudah beberapa tahun kemudian, orang Rum pasti akan menang kembali.
Ketika
orang Rum itu kalah di permulaan, musyrikin Quraisy bergembira hati, sebab
orang Persia yang mengalahkan mereka adalah penyembah berhala pula. Sedang kaum
Muslimin bersedih hati, sebab orangg Rum adalah pemeluk Nasrani, yang ada
pokoknya bertauhid juga, artinya dekat dengan Islam. Tapi kedatangan ayat
memberi kepastian kepada kaum Muslimin bahawa Rum akan menang kembali tidak
berapa tahun lagi: Bidh’i sinina. Artinya di antara tujuh dan Sembilan tahun lagi. Sampai
Abu Bakar bertaruh dengan orang Quraisy
beberapa ekor unta, bahawa Rum pasti akan menang kembali. Dan setelah sampai
waktunya, terjadilah kemenangan Rum dan kalahlah Persia. Abu Bakar yakin dan
pasti menang, sebab dia yakin akan bunyi ayat ini. (Ketika itu zaman Mekah,
belum ada larangan). Maka diterimalah kemenangan pertaruhannya.
Demikian
juga janji kemenangan menghadapi Quraisy di peperangan Badar, dan demikian juga
janji bahawa Nabi dan sahabatnya akan dapat melakukan Umrah dengan aman sesudah
Perdamaian Hudaibiyah. Semuanya Insya Allah akan bertemu di dalam Suratnya
masing-masing kelak. Semuanya itu dijanjikan sebelum terjadi sesungguhnya
(Lihat Surat al-Anfal Juzu’ 9 dan Surah al-Fatah Juzu’ 26).
Yang
lebih hebat lagi ialah janji kemenangan pasti, bahawa mereka akan memerintah di
bumi, sebagaimana ummat-ummat yang terdahulu juga dan kekuatan akan berganti
dengan keamanan, sebagai tersebut dalam Surat an-Nur ayat 35 (Juzu’ 18). Maka
dari Mekah ke Madinah, dari Madinah dalam masa 10 tahun seluruh Tanah Arab
telah ditaklukkan oleh Rasulullah sendiri. Di bawah pimpinan Abu Bakar kaum
Muslimin mulai menyerbu kekuasaan Romawi dan di zaman Umar, takluk Persia dan
Mesir, dan diteruskan lagi oleh Khalifah-khalifah yang datang di belakang,
sehingga kekuasaan yang pernah dicapai Islam, pernah meliputi Afrika,
Andalusia, Asia Tengah dan menjulur sampai ke anak benua India, dan juga terus
ke Kasigar (bagian dari tanah Cina). Dan kejatuhan mereka yang datang di
belakang sampai negeri-negeri mereka dijajah oleh musuhnya, telah dibayangkan
di dalam ayat satu itu juga, iaitu bahawa kebesaran akan dicabut kalau telah
kufur dan fasik.
Keempat:
I’jaz yang lebih mengagumkan lagi ialah terdapatnya beberapa pokok ilmiah yang
yang tinggi di dalam al-Quran mengenai alam. Dibicarakan didalamnya soal
kejadian langit dan bumi; bintang-bintang, bulan dan matahari. Dari hal
turunnya hujan dan hubungannya dengan kesuburan dan kehidupan. Beberapa kali
dibicarakan dari hal lautan, pelayaran dan perkapalan. Pernah juga dikatakan
bahawa pada mulanya langit dan bumi adalah satu, kemudian dipecahkan
(al-Anbiya’, Surat 21 ayat 30) yang beratus tahun kemudian penyelidikan ilmu
pengetahuan alam menjelaskan bahawasanya bumi ini adalah pecahan dari matahari.
Dibicarakan juga soal asal-usul kejadian manusia, sejak dari tanah lalu menjadi
mani, nuthfah, alaqah dan mudhghah, lalu mudghah itu terbentuk menjadi tulang,
lalu tulang itu diselimuti dengan daging, kemudian menjadi manusia yang
bernyawa. (Surat 23; al-Mu’minun, ayat 12 sampai 14). Dibicarakan juga dari hal
kayu-kayuan, kebun-kebun yang indah, pengaruh angin berhembus untuk
mempertemukan “jantan betina” pada tumbuh-tumbuhan.
Soal-soal
alam yang dibicarakan ini sangatlah mengagumkan, kerana bertambah dalam
penyelidikan manusia dalam berbagai macam ilmu pengetahuan alam, bertambah
jelas maksud ayat-ayat itu. Sedang Nabi Muhammad s.a.w. ukanlah seorang ahli
ilmu alam.
Beliau
membicarakan beberapa kali tentang lautan, ombak bergulung dan kapal layar,
sangat menarik perhatian orang-orang pelaut. Sehingga seorang nakhoda kapal
Inggeris bernama Mr. Brown, yang di
dalam pelayaran pulang-pergi di antara tanah Inggeris dan India selalu membaca
terjemahan al-Quran, sangat kagum bila membaca ayat-ayat yang mengenai laut dan
bahtera, lalu beliau bertanya kepada orang-orang Islam di India, pernahkah Nabi
Muhammad s.a.w. itu belayar.Maka diterangkanlah kepadanya bahawa Nabi Muhammad
s.a.w. tidak pernah melayari lautan seumur hidupnya. Mendengar keterangan itu ditambah
lagi dengan penyelidikannya tentang sejarah hidup Rasulullah, bahawa memang
beliau tidak pernah belayar, timbullah iman nakhoda Inggeris itu bahawa
al-Quran itu memang wahyu Illahi, dan diapun langsung memeluk agama Islam.
Di
dalam riwayat ada tersebut bahawa seorang sahabat Nabi Muhammad pernah meminta
nasihat beliau, kerana maksud sahabat itu hendak menanam bibit pohon kurma.
Menurut kebiasaan, kurma yang subur buahnya ialah yang dikahwinkan terlebih
dahulu. Kerana pohon kurma itu berjantan berbetina pula. Lalu beliau beri
nasihat, tidak perlu mengahwinkan. Nasihat beliau itu diterima oleh sahabat
yang bersangkutan, lalu dia pergi bertanam kurma. Kemudian ternyata memang
kurma yang ditanam dengan tidak perjodohan terlebih dahulu (okulasi), tidak menghasilkan
buah. Lalu beliau sendiri Muhammad s.a.w. mengakui bahawa soal demikian
bukanlah keahlian beliau, sebab hal itu adalah urusan keduniawian semata-mata,
yang ahli masing-masing cabang pekerjaan lebih mengerti daripada beliau dalam
urusan itu. Maka setelah dilakukan orang kembali perjodohan sebelum menanam
kurma itu, benarlah terjadi sebagaimana biasa, menghasilkan buah yang subur.
Belumlah
sampai penyelidikan penafsir ini apakah soal penanaman kurma ini terlebih
dahulu kejadian daripada turunnya ayat 22 dalam Surat al-Hijr surat 15, yang
menerangkan bahawa Tuhan Allah mengirimkan angin buat menyuburkan (lawaqih)
dari pokok kata Iqaah, iaitu mencecerkan bibir. Maka di musim angin berhembus
sepoi-sepoi basa, angin itulah yang memindahkan bibit kembang yang jantan yang
betina. Besar sekali kemungkinan bahawa sahabat Rasulullah menanam kurma itu,
kejadian setelah zaman Madinah, dan Surat al-Hijr adalah turun di Mekah. Artinya terlebih dahulu turun ayat itu dari
sahabat berkebun kurma itu. Sebab setelah terjadi masyarakat Islam di Madinah
barulah sahabat berkebun-kebun. Maka kedua bukti ini menunjukkan dengan jelas
bahawa Nabi kita s.a.w. bukanlah ahli perkebunan, dan tidaklah beliau sendiri
mengerti, diukur dengan ilmu perkebunan, bahawa angin pun mempunyai tugas untuk mengahwinkan bibit. Sedangkan maksud
ayat 22 dari Surat al-Hijr itu dapatlah difahamkan orang di belakang, setelah
orang menyelidiki ilmu pengetahuan tentang tumbuh-tumbuhan leih mendalam. Dan
sudah dapat pula kita katakan bahawa beliau pun tidaklah mengerti pecahnya
sebahagian dari matahari lalu menjadi bumi, meskipun ayat itu turun ke atas
diri beliau sendiri. Ahli ilmu alamlah kelak yang akan membuka rahsia itu.
Disinilah
terletaknya mukjizat. Nabi s.a.w. tidak pandai menulis, tidak ahli membaca,
tidak masuk sekolah. Bahkan sesuatu yang patut dinamai sekolah belum ada pada
waktu itu. Sesuatu yang agak patut disebut ilmu pada masa itu hanyalah
ilmu-ansab, iaitu ilmu nasab-keturunan, yang diajarkan dari mulut ke mulut.
Itupun diakui oleh ahli sejarah bahawa beliau tidak ada ilmu tentang itu.
Sahabat setianya Abu Bakar yang ahli dalam ilmu keturunan suku-suku Arab itu,
bukan beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan