Mengenai Saya

Foto saya
Blog ini dimiliki oleh Zawawi Hussain FB : Zawawi Hussain HP : +6013-3405910 email : wanmohdzawawi@gmail.com

Khamis, 1 November 2012

Tafsir Al-Azhar - Juzu' 1 - Isi Mukijizat Al-Quran - 2

4- ISI MUKJIZAT AL-QURAN - 2

Sejarah dan perkembangan penilaian terhadap al-Quran itu telah memberikan tiga kesimpula tenatang I’jaz. Yang pertama ialah keistimewaan yang telah pernah dicapai oleh bangsa Arab, yang kedua ialah  makna atau ma’aninya, yang hakiki, yang telah terbukti bahawa puncak tertinggi yang manapun dari fikiran mereka tidaklah akan sampai ke martabat makna al-Quran. Ketiga ialah ajaran akhlak. Ajaran akhlak al-Quran itu, kalau dimisalkan bukanlah dia ajaran agama, namun puncak budi dari manusia yang cerdas, tidaklah dapat membantah bahawa itulah akhlak yang baik.
Sebab itu I’jaz ini telah menjadi salah satu ilmu yang wajib diperhatikan juga seketika menafsirkan al-Quran.
Dan I’jaz al-Quran ini adalah terhadap seluruh manusia. Kalau bangsa Arab dengan bahasa yang tidak mati, malahan bertambah berkembang dan berpengaruh di dalam abad kedua puluh ini, dan orang-orang Arab sendiri, terutama sarjana-sarjana bahasanya telah mengakui kelemahan mereka, apatah lagi seluruh manusia. Dan memang Muhammad s.a.w diutus kepada seluruh manusia di muka bumi ini (Lihat surat 34, Saba’ ayat 28 dan beberapa ayat lain).
Dengan secara ringkas dan pokok sahaja, kita hendak mencuba mengemukakan empat rupa I’jaz al-Quran.
Pertama: Fashahah dan Balaghah, amat tinggi darjat kata dan maknanya, yang mempesona pendengarnya, yang dimulai oleh orang Arab yang empunya bahasa itu sendiri, yang lebih tahu apa susun, irama, gaya dan pengaruh ungkapan kata yang dapat menarik dan mempesona. Bangsa yang sebelum al-Quran turun mengadakan sayembara perlumbaan syair-syair pada tiap-tiap tahun di pasar Ukaadz, dan syair yang menang mendapat kehormatan digantungkan di Kaabah; bangsa yang terdiri dari kabilah-kabilah, dan tiap-tiap kabilah merasa rendah diri kalau dalam kalangannya tidak ada ahli syair atau ahli pidato yang fasih dan kalau mereka kagum terpesona oleh al-Quran, bolehlah kita bangsa yang lain mempercayai kekaguman mereka itu.
Susunan al-Quran bukanlah susunan syair, dengan susun rangkaikata menurut suku-kata bilangan tertentu, dan bukan dia puisi dan bukan dia prosa dan bukan pula dia sajak, tetapi dia berdiri sendiri melebihi syair, nashar dan nazham, yang belum pernah sebelum turun, orang Arab belum pernah mengenal kata seperti itu. Demikianlah terpesona mereka itu, lebih terpesona pemuka-pemuka mereka sendiri, sebagai Abu Jahal, Abu Sufyan, al-Walid bin al_Mughirah dan lain-lain.
Tidak ada kata lain yang dapat mereka pilih untuk menilainya, sehingga mereka katakan saja bahawa al-Quran itu adalah sihir. Seorang pedusunan dari Bani Ghifar, bernama Anis, iaitu saudara dari Abu Zar al-Ghifari berkata kepada Abu Zar “ Saya bertemu di Mekah seorang laki-laki memeluk agamamu ini, dia mengatakan bahawa dia utusan Tuhan Allah”. Lalu Abu Zar berkata: “Apa kata orang tentang dirinya?”
Anis menjawab: “ Ada orang yang mengatakan bahawa dia itu adalah seorang ahli syair, kata orang yang lain dia tu kahin (tukang tenung) dan kata yang lain lagi dia itu ahli sihir. Lalu Abu Zar bertanya kepada Anis, kerana diapun seorang penyair: “ Engkau sendiri bagaimana pendapatmu tentang dia? “Anis menjawab: “ Aku telah pernah mendengar perkataan kahin,  namun ini bukan kata-kata ahli syair. Aku sudah perbandingkan kata-kata ini dengan syair-syair ahli syair, maka tidak ada samasekali persamaan kata-katanya ini dengan syair. Pendeknya, demi Allah, dia adalah benar. Dan penyair adalah bohong”.
Kedua: Al-Quran banyak menceritakan berita tentang masa-masa telah lalu; berita tentang kaum ‘Aad, Tsamud, kaum Luth, kaum Nuh, kaum Ibrahim, kaum Musa, negeri Madiyan, ceritera tentang kesucian Maryam dan kelahiran puteranya (Isa AlMasih), tentang lahirnya Yahya bin Zakaria. Segala berita yang dibawanya itu benar dan semuanya bertepatan dengan kenyataan yang benar, dan banyak persesuaian dengan cerita ahlul-kitab, sedang yang membawa berita al-Quran ini dikenal oleh semua yang hidup sezaman dengan dia bahawa dia ummi (buta huruf), tak pandai menulis dan tak tahu membaca. Dan tidak pula pernah belajar kepada seorang guru, masyarakt Mekah sendiri, tempat dia lahir dan dibesarkan bukanlah masyarakat ahlul-kitab, melainkan masyarakat menyembah berhala. Bukan sebagai di Madinah yang dipengaruhi oleh Yahudi dan bukan sebagai di Najran yang  berpenduduk Nasrani.
Meskipun kaum orientalis kadang-kadang mencari segala macam lobang, walaupun lobang paling kecil, untuk menegakkan teori bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah belajar kepada ahlul-kitab, namun teori yang dibikinkan itu adalah laksana menegakkan benang basah. Berfikir yang benar, hanyalah sampai kesimpulan bahawa “orang ini” dan  Nabi Muhammad s.a.w. mendapat wahyu dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Di dalam al-Quran sendiri Tuhan bersabda kepadanya: “Bahawa sebelum al-Quran ini turun, dia belum pernah membaca satu kitab pun, dan belum pernah dia menulis apa-apa dengan tangannya.” (Lihat Surat al-Ankabut, ayat 48)
Satu hal yang lucu telah kejadian. Di Mekah ada tinggal seorang pandai besi berasal dari negeri Rum, menerima upah membuat pedang. Orang itu tidak berapa fasih berbahasa Arab dan bukanlah dia seorang failasuf atau guru, meskipun berasal dari Romawi. Kepandaiannya hanyalah semata-mata menempa besi. Nabi Muhammad s.a.w. pernah datang dua tiga kali ke bengkel tempat orang bekerja. Mungkin tertarik melihat kepandaiannya membuat pedang. Maka disebarkanlah berita oleh musuh-musuhnya ketika itu berita bahawa Nabi Muhammad belajar kepada orang Rum pandai besi itu. Berita inilah yang dibantah oleh al-Quran dengan cara berfikir yang teratur di dalam Surat an-Nahl (Surat 16, ayat 103), bahawa Tuhan mengetahui apa yang mereka tuduhkan itu, iaitu bahawa Muhammad diajar oleh manusia, bukan wahyu dari Tuhan. Manusia itu pandai besi orang Rumi. Padahal lidah Rumi itu ialah lidah ajami, sedang wahyu yang turun adalah lidah atau bahasa Arab yang terang, yang jelas lagi fasih.


Cubalah fikirkan dengan akal yang teratur, adakah mungkin di akal bahawa seoarng Rumi yang tidak fasih bahasa Arab mengajar Nabi tentang wahyu dengan bahasa Arab yang sangat indah, di atas segala keindahan?
Sedangkan pemuka-pemuka Quraisy yang ahli dalam bahasa, selama ini tidak mengenal sedikit pun tentang pandai besi Rumi itu lain dari langganan yang baik dalam pembikinan pedang?

Bersambung …..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan