Mengenai Saya

Foto saya
Blog ini dimiliki oleh Zawawi Hussain FB : Zawawi Hussain HP : +6013-3405910 email : wanmohdzawawi@gmail.com

Jumaat, 9 November 2012

5-Tafsir Al-Azhar - Juzu' 1 : AL-QURAN LAFAZ DAN MAKNA



5-AL-QURAN LAFAZ DAN MAKNA

Setelah kita tinjau dengan saksama pendapat ulama-ulama yang terdahulu, maka terdapatlah kesatuan pendapat yang umum, iaitu bahawa al-Quran itu bukanlah semata-mata pada maknanya sahaja, melainkan mencakupi lafaz dan makna. Sebab itu maknanya terdapat beberapa ayat di dalam al-Quran yang dengan tegas menyatakan sifat al-Quran itu, iaitu Arabi. Ayat ketiga dari Surat 14, dengan tegas menyebut Qur’anan ‘Arabian, artinya al-Quran yang berbahasa Arab. Sebab itu, tidak ada al-Quran lain dengan bahasa lain, yang al-Quran ialah yang bahasa Arab itu. Kalau dia telah diterjemahkan ke dalam bahasa yang selain Arab, namanya bukan al-Quran lagi, melainkan terjemahan al-Quran.
Seluruh Imam-imam Mazhab sama berpendapat dalam hal itu, yang al-Quran ialah yang bahasa Arab itu. Hanya satu kali saja terdapat sedikit pertikaian faham, iaitu kerana Imam Abu Hanifah pernah berkata, bahawa bagi orang Ajam yang baru memeluk Islam, kalau lidahnya belum sanggup membaca al-Quran dalam sembahyang dengan lafaz Arabnya, boleh dia sementara waktu, sebelum pandai membaca bahasa Arabnya, sembahyang dengan bahasanya sendiri.
Sebagaimana yang diketahui oleh ahli-ahli sejarah, Imam Hanafi itu sendiri memang keturunan Persia (Iran) berasal dati daerah Kabul (Aghanistan) sekarang ni. Jadi beliau mengalami dan menyaksikan sendiri banyaknya orang yang sebangsanya berduyun-duyun masuk Islam, lidah mereka masih belum lancar mengucapkan huruf-huruf al-Quran, sedang dalam agama tidak ada paksaan. Itu sebabnya beliau berpendapat bahawa sebelum fasih, biarlah sembahyang dengan bahasa sendiri, tetapi wajib selalu berusaha, sehingga makhraj-makhraj huruf Arab itu bisa diucapkan dengan tepat.
Lantaran beliau pernah menyatakan pendapat seperti ini, maka adalah orang yang datang kemudian memperluas pula dengan kesimpulan sendiri ijtihad beliau yang demikian. Lalu mereka berkata bahawa Imam Hanafi berpendapat bahawa al-Quran itu hanya makna sahaja, tidak usah lafaznya. Padahal setelah dikaji dan ditilik kitab-kitab yang menuliskan ijtihad Imam Hanafi, tidaklah pernah beliau mengatakan bahawa al-Quran itu hanya makna sahaja. Dan tidak masuk di akal kita bahawa Imam Hanafi yang bergelar al-Imamul A’zham akan mengemukakan pendapat demikian, kerana sudah menjadi pengetahuan umum, bahawasanya makna yang asli dari satu bahasa, terlalu sukar dapat diartikan  di dalam bahasa yang lain. Bahkan terjemahan ke dalam satu bahasa sajapun tidaklah sama di antara satu penterjemah dengan lain penterjemah. Dan bahasa tempat menterjemahkan itupun selalu berkembang, yang kadang-kadang satu patah perkataan 100 tahun yang lalu, sudah berbeza dengan yang sekarang ini. Kita misalkan saja kata “pemancar” yang 100 tahun yang lalu artinya ialah pancaran air, sedang arti pada zaman sekarang ialah satu stesen radio.
Oleh kerana itu kita terjemahkan dan kita tafsirkan al-Quran ini ke dalam bahasa Indonesia moden yang sedang berkembang, dengan berpegang kepada pendapat Imam Abu Hanifah tadi, iaitu membimbingg orang yang tidak tahu bahasa Arab tetapi ingin mengetahui isi al-Quran, dan kita peringatkan bahawa ini adalah terjemah. Sudah lebih daripada 10 macam terjemah al-Quran ke dalam bahasa Indonesia, namun bahasa dan gaya bahasa dari terjemah yang lebih 10 itu tidaklah sama, sebab semua itu adalah pendapat manusia, dan dalam atau dangkalnya pengetahuan manusia, bukanlah dia al-Quran.
Di zaman Islam dan negara-negara Islam dalam puncak kekuatannya, Ulama-ulama Islam berpendapat bahawa naskhah al-Quran tidak boleh dibawa ke negeri orang kafir dan al-Quran tidak boleh (haram) jika diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Sebab larangan membawa ke negeri yang bukan Islam, ialah kerana takut al-Quran itu akan diperhina-hina. Dan larangan terjemah ialah kerana sudah nyata bahawa terjemahan tidak akan sama dengan aslinya. Tetapi fatwa-fatwa yang demikian sekarang telah mulai berubah, sebab zaman pun telah berubah, terutama dengan adanya alat-alat pencetak, sehingga al-Quran yang mula-mula dicetak dengan percetakan bukanlah di Mesir, Damaskus atau di Mekah, tatapi di Hamburg Jerman.
Tentang hal terjemah, kian lama, kerana kian melihat kenyataan, tidaklah besar lagi jumlah Ulama yang mengharamkannya, sebab telah dirasai betapa terjemah al-Quran ke dalam bahasa-bahasa Barat, yang kadang-kadang mereka katakan bahawa itulah yang al-Quran dan kadang-kadang terdapat pula terjemahan yang salah. Maka untuk menandingi ini tidak ada lagi jalan lain bagi Ulama-ulama Islam yang bertanggungjawab, melainkan membolehkan penterjemahan. Tetapi sama pula pendapat sekalian Ulama Islam zaman Moden, bahawa hendaklah ayat-ayatnya yang asli dengan huruf Arabnya dan nombor-nombor ayat dicantumkan pula di samping terjemahan itu, supaya dapat dibanding oleh ahli-ahli yang lain bena atau salahnya, tepat atau janggalnya terjemahan itu.
Syukurlah kita pada Tuhan, sebab baik bacaan al-quran dengan makhraj dan hurufnya dan tajwid atau perkembangan tulisannya, masih tetap asli menurut naskhah yang pertama. Inilah keutamaan al-Quran melebihi naskhah Taurat dan Injil. Keaslian al-Quran adalah mutawatir, artinya diterima dan dihafal oleh beribu-ribu orang yang mustahil akan sepakat berdusta dan diajarkan turun-temurun dari nenek kepada anak dan kepada cucu.
Sekarang kita terjemahkanlah tiap-tiap ayat al-Quran yang 30 juzu’, 114 surat dan 6,236 ayat itu, ke dalam bahasa Indonesia atau Melayu, dan disamping terjemah, penulis ini mencantumkan pula bunyi ayat aslinya dengan huruf Arabnya. Tidak ada salinan bacaan-bacaan bahasa Arab al-Quran itu ke dalam huruf lain. Kecuali sedikit-sedikit beberapa kali  di dalam tafsir. Sebab penulis “Tafsir” ini insaf benar bahaw huruf Latin (Rumi) yang hanya 26 buah tidaklah cukup untuk menggantikan huruf Arab yang 29 buah.
Maka Tafsir al-Quran, Tafsir Al-Azhar ini, yang di dalamnya kita telah mencuba menterjemahkan ayat ke dalam bahasa Indonesia atau Melayu, adalah menyambung usaha nenek-moyang yang terdahulu sebagai Sheikh Abdurrauf bin Al-Fanshuri di dalam abad ke tujuhbelas masehi di negeri Acheh Darussalam, dan menyertai pula usaha teman-teman sebaya yang lain dan terjemahan mereka masing-masing. Mungkin akan terdapat kealpaan, sebab yang aku kerjakan ini adalah satu pekerjaan yang amat besar dibandingkan kepada kecilnya diriku dan piciknya ilmuku. Maka kepada peminat al-Quran kita serukan bahawa penafsiran dari tiap-tiap penafsir tidaklah sama, masing-masing diberi warna oleh keperibadian penafsir itu sendiri, dalam dan dangkalnya ilmunya, pendidikannya dan pengalamannya. Sebab itu kita ingatkan sekali lagi bahwa tafsir ini belumlah cukup. Yang cukup dan kengkap hanyalah al-Quran itu sendiri.
Maka untuk mendekati kecukupannya itu sebaiknyalah angkatan muda Islam jangan hanya membaca terjemahan dan tafsir, cukupkanlah segala terjemah dan tafsir yang telah ada, di antaranya Tafsir Al-Azhar ini sebagai pembimbing saja bagi mencapai masuknya Nur ayat-ayat al-Quran ke dalam jiwa masing-masing saudara, sehingga menjadi seorang Muslim yang mencukupi artikata dengan Nur al-Quran.
Dan sebagai kita katakan di awal kata di atas tadi, hendaklah selalu Muslim memfasihkan membacanya. Kalau sudah kelu lidahnya, kerana bekas pengaruh penjajahan, hendaklah dia menyerahkan anaknya belajar bacaan al-Quran itu kepada seorang guru yang pandai dan fasih, yang mengenal tajwid dan qiraat al-Qurannya. Sebab sebagai dikatakan tadi, al-Quran adalah lafaznya dan maknanya. Al-Quran ialah yang bahasa Arab itu. Dan kalau dia diterjemahkan, maka nama terjemahan itu tetap terjemahan, bukanlah al-Quran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan