Mengenai Saya

Foto saya
Blog ini dimiliki oleh Zawawi Hussain FB : Zawawi Hussain HP : +6013-3405910 email : wanmohdzawawi@gmail.com

Selasa, 30 Oktober 2012

Tafsir Al-Azhar - Juzu' 1 - I'jazul Quran

I’JAZUL QURAN

Arti I’jaz ialah pelemahkan. Iaitu lemah orang buat meniru atau menyamai, apatah lagi menandingi dan melebihinya. Sebab itu samalah pendapat Ulama-ulama ahli bahasa dan sastra, bahawasanya al-Quran ini adalah mukjizat bagi Nabi Muhammad s.a.w. Sebagaimana bagi nabi Musa ada mukjizat membelah laut dengan tongkat, bagi nabi Isa ada mukjizat menyembuhkan orang sakit lepra hanya semata-mata dengan menjamah.
Maka timbullah pertanyaan orang, mengapa mukjizat Muhammad hanya al-Quran yang dibaca, atau satu kitab yang dipelajari, bukan sebagai mukjizat yang mengagumkan akal? Mengapa tidak tongkat sebagai yang ada pada Nabi Musa? Mengapa tidak api yang tidak menghangusi sebagai mukjizat Ibrahim? Atau sebagai Isa menyembuhkan orang buta dan orang sakit lepra itu?
Di zaman kita inipun ada orang yang bertanya-tanya demikian, dan orang musyrikin di Mekah dahulupun pernah meminta supaya Nabi Muhammad s.a.w. menunjukkan suatu mukjizat, misalnya bukit Shafa menjadi emas, atau beliau sendiri mempunyai sebuah rumah dari emas, dan beberapa permintaan yang lain, sebagaimana kelak akan tersebut di dalam surat 17, al-Isra’, ayat 93 dan beberapa ayat pada Surat lain. Tetapi permintaan mereka itu tidak dikabulkan Allah atau tidak memandang itu lebih penting daripada mukjizat al-Quran. Beberapa Hadis yang sahih telah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat beliau, bahawa beliaupun pernah mempertunjukkan mukjizat yang aneh-aneh dan ganjil, misalnya keluar air yang diminum oleh 1,200 orang dari dalam timba beliau yang kecil di Hudaibiyah, atau hujan lebat di sekitar khemah tentera saja dan tidak turun di tempat lain sehingga dapat semuanya menampung air, yang banyaknya 30,000 orang dalam perjalanan ke peperangan Tabuk dan beberapa mukjizat yang lain. Tetapi mukjizat-mukjizat yang demikian tidaklah beliau jadikan tentangan kepada kaum musyrikin. Beliau menentang lawan hanyalah dengan mukjizat al-Quran. Dengan al-Quran beliau mengukuhkan risalatnya dan dengan al-Quran beliau menambah iman pengikut-pengikut beliau, kaum yang beriman, sampai hari kiamat.
Mukjizat seorang Rasul ataupun seorang Nabi selalu disesuaikan Tuhan dengan zaman hidup Rasul atau Nabi itu sendiri, dan harus sesuai pula dengan macam-ragam risalat yang dibawanya. Apabila risalatnya itu adalah risalat yang merata untuk seluruh manusia, yang kekal dan tidak akan berubah lagi sampai selama-lamanya, hendaklah mukjizat itu yang kekal dan merata pula, yang kian mendalam orang berfikir, kian mengaku akan mukjizat itu. Mukjizat itu sekali-kali tidak akan kekal, kalau dia hanya merupakan suatu kejadian yang dapat dilihat mata di suatu masa. Sebab apabila Rasul yang membawa mukjizat itu telah berpulang ke Rahmatullah, mukjizat itu tidak akan bertemu lagi. Dan ada pula suatu kejadian yang dipandang mukjizat di zaman hidup Nabi yang bersangkutan, namun setelah beberapa abad di belakang, keangkeran mukjizat itu tidak ada lagi kerana kemajuan ilmu pengetahuan. Sebab itu maka mukjizat yang diberikan kepada Nabi Muhammad bukanlah mukjizat untuk dilihat mata dan pancaindera (hissi), tetapi untuk dilihat hati dan meminta pemikiran (maknawi).
Mukjizat yang hissi telah habis pengaruhnya dengan habis zamannya, Mukjizat Musa dan Isa hanya dilihat oleh manusia yang sezaman dengan beliau. Orang Yogi yang kuat mengadakan pertapaan sudah biasa berjalan di atas api yang tengah menyala, sehingga mukjizat Nabi Ibrahim sudah hampir disamai. Kemajuan ilmu kedokteran di zaman sekarang telah memungkinkan sembuhnya penyakit-penyakit hebat sebagai yang telah disembuhkan oleh jamahan tangan Nabi Isa. Sudah ada orang menaksirkan bahawa terbelah laut di zaman Musa adalah lantaran pasang yang selalu sangat surut.
Sedangkan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w sendiri tentang Isra’ dan Mikraj masih juga jadi pertikaian faham di antara ulama-ulama Islam sejak lagi di zaman sahabat, apakah beliau itu Isra’ dan mikraj dengan tubuh dan nyawa beliau atau hanya dengan nyawa sahaja. Aliran yang dua itu tetap ada, yang berarti bahawa bagi golongan berkepercayaan dengan nyawa sahaja, urusan Isra’ dan Mikraj dengan sendirinya  tidak begitu hebat lagi. Dan tidak pula mereka kafir kalau mereka berpendapat begitu.
Lantaran itu dapatlah kita berkata bahawasanya mukjizat segala Nabi dan Rasul, dan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. yang selain dari al-Quran, adalah hal kenyataan yang dapat dilihat mata, yang habis dengan sendirinya setelah lewat zamannya. Tetapi mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama al-Quran in adalah mukjizat untuk seluruh masa dan bangsa, yang datang setelah akal dan kecerdasan manusia sudah lebih tinggi daripada zaman purbakala yang telah dilaluinya itu. Tegasnya, dahulu mukjizat untuk dilihat mata, sekarang mukjizat al-Quran untuk dilihat akal. Akal dari seluruh manusia, turunan demi turunan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan