Mengenai Saya

Foto saya
Blog ini dimiliki oleh Zawawi Hussain FB : Zawawi Hussain HP : +6013-3405910 email : wanmohdzawawi@gmail.com

Rabu, 31 Oktober 2012

Tafsir Al-Azhar - Juzu' 1 - Isi Mukijizat Al-Quran - 1

4- ISI MUKJIZAT AL-QURAN

Al-Quran mula diturunkan ialah kepada bangsa Arab dalam bahasa Arab. Di zaman turunnya, bangsa Arab dalam hal perkembangan bahasa telah sampai kepada tingkat yang tinggi sekali, terutama dalam sastra, baik puisi ataupun prosa (manzhum dan mantsur). Syair yang lulus di dalam sayembara bersyair telah digantungkan di dinding Ka’bah, dihormati dan dimuliakan, kerana dipandang puncak keindahan bahasa. Tetapi setelah al-Quran turun, diatasinya segala perkembangan sastra itu, bahkan dibuatnya lemah bangsa Arab, ahli-ahli sastranya buat mendatangkan susunan kata dan arti yang seperti itu. Malahan al-Quran menantang, siapakah di antara mereka yang sanggup membuat agak satu Surat pun yang sama mutunya dengan al-Quran (Lihat Surat 2, al-Baqarah ayat 23; Surat 10, Yunus ayat 38; Surat 11,Hud ayat 13). Ayat-ayat itu berisi tantangan yang tegas kepada ahli-ahli sastra dan bahasa Arab itu, kalau sanggup, cubalah kemukakan pula barang satu Surat sebagai bandingan dan gandingan. Maka di ayat 24 Surat al-Baqarah dinyatakan dengan tegas bahawa mereka tidak akan sanggup membuatnya, walaupun bagaimana mereka usahakan. Dan ternyata mereka tidak sanggup, sampai kepada zaman kita inipun tidak sanggup, meskipun tidak juga mau percaya mereka yang kafir, kerana kafirnya.
Tidak dikenal di dalam sejarah zaman lampau bahawa ada mereka yang sanggup. Ada juga yang mencuba, tetapi gagal. Para ulama ahli bahasa dan agama telah bersepakat, makanya mereka tidak sanggup ialah kerana al-Quran itu sendiri memang mukjizat, memang tidak dapat diatasi, atau disamai. Baik dalam susun katanya, atau dalam pilihan tiap-tiap kata dan hubungannya dengan yang lain, ataupun sampai kepada makna yang terkandung di dalamnya. Bertambah tinggi ilmu orang, sampai kepada zaman sekarang, di dalam bahasa Arab, dari segi seni bahasa dan sastra, yang telah tersusun menjadi Balaghah, Fashahah, ilmu balaghah, ilmu bayan, ilmu ma’ani dan badi’ bertambah terasa letak al-Quran itu tetap di atas dari apa yang dapat dicapai oleh kesanggupan manusia.
Suatu waktu diterjemahkan oranglah kita “Veda” dari Hindu ke dalam bahasa Arab. Dalam kalangan penganut Hinduisme itu ada suatu pendapat bahawa kitab Veda pegangan mereka itu bisa juga ditiru susunannya oleh manusia, tetapi manusia tidak mahu menirunya lantaran menjaga kesuciannya. Kalau manusia mahu tentu bisa saja. Faham inipun menjalar pula kepada setengah orang Islam di zaman itu. Mereka berkata bahawa al-Quran itu bisa ditandingi, tetapi kita tidak boleh menandinginya.Lantaran itu majulah beberapa ulama ahli balaghah menentang pendapat yang kemasukan itu. Mereka berkata bahawa tidak ada larangan meniru dan menandingi al-Quran, bahkan disuruh mencuba kalau sanggup (al-Baqarah Surat 2 ayat 23). Pada waktu itulah tampil ke muka pelopor-pelopor ahli balaghah mengurai keaslian dan keindahan al-Quran itu dari segi balaghahnya, yang tidak dapat ditandingi dan tidak dapat ditukar dan tidak ada pilihan kata lain yang dapat menyamainya. Timbullah al-Baqillani, dengan bukunya I’jaz al-Quran, dan menulis pula Abdul Qahir al-Jurjani, buka yang bernama Dalailul’Ijaz. Kemudian datang pulalah az-Zamakhsyari dengan tafsirnya yang bernama al-Kasysyaf yang lebih menekankan perhatian kepada kuasa i’jaz itu pada tiap-tiap ayat.
Kalau orang Arab yang empunya bahasa itu sendiri telah mengaku bahawa tidak ada kesanggupan manusia menandinginya, usahkan mengatasinya, betapa lagi bangsa lain, yang memakai bahasa lain?
Sebagaimana kita ketahui, sampai sekarang ada sekelompok kecil bangsa Arab yang memeluk Agama Kristian, yang sejak zaman Rasul s.a.w. dan zaman sahabat menjadi dzimmah (di bawah perlindungan Islam); terdapat kira-kira satu setengah juta di Libanon, Suria dan Palestina. Di Mesir terdapat dua juta Kristian-Kopti. Mereka juga memakai bahasa Arab. Di kalangan mereka timbul juga ahli-ahli sastra yang besar. Maka tidaklah ada di kalangan mereka yang sanggup meniru al-Quran, bahkan sebaliknya. Iaitu ahli-ahli sastra mereka selalu menganjurkan bahawa untuk memperkaya kesusasteraan dan memperhalus rasa bahasa, selain mengetahui syair-syair Arab purbakala, untuk memperlengkap diri menjadi penyair dan pujangga, sayugianyalah mengetahui al-Quran.
Maka menjadi kepercayaanlah bagi seluruh bangsa Arab, selama 14 abad sampai sekarang bahawa mereka tidak sanggup menyusun lagi kata lain untuk menandingi balaghah dan fashahat al-Quran. Kelemahan meniru itu bukan kerana dilarang, bahkan ditantang supaya dicuba. Maka al-Quran itu sendirilah yang mengelukan lidah dan tangan orang buat menirunya. Orang Arab apabila mendengar orang membaca  al-Quran, walaupun dia bukan orang Islam, mesti terpesona oleh balaghahnya dan terpukau oleh makna yang terkandung di dalamnya, dan tenggelamlah perasaan halus mereka kepada butir katanya, susunannya dan gaya bahasanya serta kandungan isinya.
Seorang ahli bahasa yang besar, sastrawan terkemuka di zaman Nabi, iaitu al-Walid bin al-Mughirah seketika diminta oleh Abu Jahal, bagaimana kesannya tentang susun kata al-Quran itu telah menyatakan: “Demi Allah! Tidak ada di dalam kalangan kita yang sepintar saya menilai syair-syair, yang mengenal Rajaznya dan Khadidnya. Demi Allah! Apa yang diucapkan oleh Muhammad itu tidak dapat diserupakan dengan sebarang syair pun. Demi Allah! Kata-katanya ini manis didengar, indah diucapkan, puncaknya menimbulkan buah, dasarnya memancarkan kesuburan. Perkataan ini selalu di atas dan tidak dapat di atasi, dan yang dibawahnya mesti hancur dibuatnya.”
Al-Walid tidak masuk Islam, dia tetap dalam kufur. Tetapi inti kebenaran dalam keistimewaan al-Quran tidak dapat dibantahnya. Dia tidak dapat memutar-balik kenyataan. Sebab itu maka al-Quran mempengaruhi juga kepada orang yang memusuhinya, sebagaimana mempengaruhi orang yang beriman kepadanya. Orang musyrikin menentang Rasulullah s.a.w. ialah kerana takut bahawa pengaruhnya akan bertambah besar, sebab al-Quran itu senjata yang tidak dapat diatasi. Sampai ada di antara orang kafir itu yang memberi nasihat kepada kawan-kawanya, supaya mereka jangan suka mendengarkannya, dan hendaklah hiruk-pikuk seketika al-Quran itu dibaca oleh Rasul, supaya jangan sampai terdengar, kerana hanya dengan jalan demikianlah mereka merasa bahawa mereka akan menang berjuang menentang Rasul, (lihat Surat 41, Fushshilat, ayat 26).
Bersambung……

Tiada ulasan:

Catat Ulasan